KEMURUNGAN TINGKATKAN RISIKO KEMATIAN PENGHIDAP HIV: SEMPENA HARI AIDS SEDUNIA (1 DIS 2023) | UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
» ARTIKEL » KEMURUNGAN TINGKATKAN RISIKO KEMATIAN PENGHIDAP HIV: SEMPENA HARI AIDS SEDUNIA (1 DIS 2023)

KEMURUNGAN TINGKATKAN RISIKO KEMATIAN PENGHIDAP HIV: SEMPENA HARI AIDS SEDUNIA (1 DIS 2023)

Terdapat kepelbagaian faktor yang membentuk pengalaman kemurungan seseorang sama ada faktor individu, persekitaran, penerimaan sosial dan faktor-faktor berpengaruh yang lain. Bagi penghidap HIV pula, kemurungan mungkin disebabkan oleh tanggapan dan penerimaan masyarakat terhadap status mereka selain disebabkan oleh pemikiran overthinking bagi penyakit yang sedang dihidapi dan keadaan mereka pada masa hadapan. Satu kajian baharu bertajuk ‘Depression and All‐cause Mortality Risk in HIV‐infected and HIV‐uninfected US Veterans: A Cohort Study’ yang bertujuan menyiasat hubungan antara gangguan atau gejala kemurungan, status HIV dan kematian, para penyelidik melaporkan bahawa gejala kemurungan agak berkaitan dengan kematian dalam kalangan veteran tentera yang mempunyai HIV tetapi tidak berkaitan dalam kalangan mereka yang tidak mendapat jangkitan HIV.

Di seluruh dunia 40 juta orang dijangkiti HIV/AIDS. Di Malaysia lebih 60,000 orang dijangkiti HIV/AIDS. Satu pertiga pesakit HIV akan mengalami kemurungan yang biasa tidak dikesan. Kemurungan mengurangkan tenaga yang diperlukan untuk mengekalkan kesihatan dan juga menyebabkan penyakit HIV bertambah teruk. 

HIV/AIDS boleh menyebabkan masalah kesihatan mental melalui: 

  • Kesan langsung penyakit kepada otak. 
  • Stigma penyakit. 
  • Diskriminasi. 
  • Perasaan takut kepada kematian

 

Gangguan kemurungan telah dikaitkan dengan peningkatan kematian dalam kalangan individu yang mempunyai penyakit kronik, termasuklah penyakit jantung, penyakit buah pinggang peringkat akhir dan diabetes. Beberapa kajian telah menerangkan perkaitan yang sama dalam konteks jangkitan HIV, walaupun ada data yang bertentangan.

 

Sememangnya sudah banyak kajian yang dilakukan di banyak negara maju yang mendapati bahawa pesakit HIV/AIDS berdepan dengan pelbagai masalah berkaitan kesihatan mental dan pelbagai penyakit neuropsikiatri lain walaupun rawatan yang diterima berjaya meningkatkan tahap penyembuhan dan memperbaiki kesihatan fizikal mereka. Namun kualiti kehidupan mereka sebagai seorang individu telah menurun kerana masalah mental yang tidak dirawat itu. Sudah pasti seseorang yang ditimpa jangkitan dan penyakit ini akan berasa gundah, sedih, kecewa, rasa bersalah, keliru, takut, risau dan bimbang terhadap penyakit dan tahap kesihatan serta masa depan diri dan keluarga mereka. Bukan setakat itu, jangkitan yang dialami pula akan turut mendedahkan mereka kepada risiko jangkitan terhadap otak dan sistem saraf dan ia akan mengakibatkan gangguan neuropsikiatri lain.

 

Sebahagian besar penghidap dan pesakit HIV/AIDS akan mengalami kerosakan fungsi kognitif otak mereka yang boleh membawa kepada masalah dementia, ada juga yang mula menghidapi gangguan psikotik yang tidak pernah dialami sebelum mengalami jangkitan ini, dan selebihnya pula mengalami gangguan mood dan afek seperti kemurungan dan kebimbangan serta mania depresif dan sebagainya. Hasil kajian juga mendapati bahawa masalah kesihatan mental mereka turut menjejaskan proses pemulihan kesihatan fizikal mereka, di samping meningkatkan risiko jangkitan kepada orang lain pula. Malah, kerosakan fungsi kognitif otak yang dialami didapati meningkatkan pula risiko mortaliti di kalangan pesakit seperti ini.

 

Bagi memastikan masalah kesihatan mental ini tidak berlaku, rawatan awal dilihat penting kerana ia dapat menghalang penyakit dari menjadi lebih kronik atau serius dan akhirnya sukar untuk dirawat.

 

Keberkesanan Kaunseling dalam membantu pesakit HIV

 

Penghidap HIV biasanya mula menerima hakikat, hasil dari sesi kaunseling yang dikendalikan oleh pegawai yang berkemahiran tentang penyakit HIV/AIDS dan psikologi pesakit HIV.   Dalam sesi kaunseling, mereka mula memahami penyakit dan rawatan, aspek psikologi seperti kekuatan dan kelemahan diri serta menangkis stigma, perkara “do’s & don’t, dan gaya hidup sihat.  Maka mereka mula memikirkan jalan terbaik untuk menjalani kehidupan.   Walaupun penghidap HIV dapat menerima hakikat dirinya adalah positif HIV tetapi dia akan mengalami stress dan tekanan untuk mendedahkan penyakit yang dijangkiti pada pasangan hidupnya, ahli keluarganya dan juga sahabat handainya. Disini Pegawai Psikologi perlu memainkan peranan yang penting untuk membantu penghidap HIV untuk menbuat pendedahan status penyakit yang dihidapi pada ahli keluarga dan juga rakannya. Pendedahan status HIV adalah umumnya berkait dengan kebaikan kesihatan fizikal, psikologi dan tingkah-laku termasuk penerimaan rawatan HAART. Kajian telah membuktikan bahawa individu HIV positif yang mengumumkan status HIV tidak akan rasa menyesal dalam jangkamasa panjang.

 

Penghidap HIV akan tetap mengalami stress dan tekanan walaupun telah mula menjalani pelbagai terapi (Psikologi) dan rawatan HAART.  Penghidap HIV akan mengalami stress yang berkaitan dengan kesan sampingan dari ubat-ubatan yang dimakan   Disini perlukan seorang pegawai kaunseling yang mahir dalam menyedarkan pesakit berkaitan kepatuhan, keberkesanan dan pengekalan dalam rawatan HAART.  Pengekalan dalam rawatan HAART yang sempurna akan memberi impak kearah kehidupan yang bermakna.

 

 Jenis Bantuan Yang Boleh Diberikan Kepada Pesakit HIV / AIDS Iaitu:

  1. Terapi sokongan

 Terapi sokongan melibatkan;

  • Sokongan emosi / motivasi / khidmat nasihat dan perundingan
  • Intervensi Krisis
  • Kaunseling individu / keluarga
  1. Prosedur Mendapatkan Bantuan

Sila rujuk kepada Pegawai Perubatan / Pakar Perubatan yang merawat di hospital.

 

Sebagai kesimpulan stress dan tekanan adalah sesuatu yang tidak dapat dipisahkan dari seseorang yang disahkan HIV positif.   Ia akan sentiasa menghantui pengidap sehingga akhir hayat.

 

Sumber-Sumber Bantuan

Terdapat beberapa sumber bantuan yang terdapat di Malaysia, antaranya:

  1. Yayasan Aids Malaysia
  2. Malaysian AIDS Foundation Paediatric AIDS Scheme
  3. Jabatan Kebajikan Masyarakat
  4. Yayasan Kebajikan Negara
  5. Baitulmal / Pusat Zakat / Pejabat Agama
  6. Persatuan Pemeliharaan dan Penyaraan Kanak-kanak / Malaysia Assosiation Children Aids Support (MACAS)
  7. Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia
  8. Badan Bukan Kerajaan (NGO)
  9. Institusi kebajikan untuk pesakit HIV / AIDS






Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim

Sumber:

https://www.ikim.gov.my/index.php/2011/12/09/keperluan-penjagaan-kesihatan-mental-jangkitan-hiv-aids/

https://hellodoktor.com/seks-hubungan/hiv-aids-ms/kemurungan-tingkatkan-risiko-kematian-hiv/

http://www.myhealth.gov.my/sokongan-sosial-kepada-pesakit-hiv-aids/

http://www.myhealth.gov.my/1-14/

Tarikh Input: 03/01/2024 | Kemaskini: 03/01/2024 | aimerul

PERKONGSIAN MEDIA

UNIT SUMBER PENDIDIKAN KANSER DAN KLINIKAL (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXEcEAP~