PUTRAJAYA, 26 JUN- Program Kesihatan Warga Emas Aktif Siri 2: Empat Serangkai telah berlangsung dengan jayanya di Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), Putrajaya pada 22 Jun 2023. Program ini merupakan kerjasama antara Unit Geriatrik, Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, dan PAWE bertujuan untuk memberi informasi kesihatan kepada warga emas.
Dalam program ini, lebih 50 peserta telah hadir untuk mengikuti beberapa siri aktiviti bermula jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari. Sesi pertama telah dihoskan oleh Dr. Wan Zulhaikal Wan Zukiman, Pakar Buah Pinggang dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah. Dalam syarahannya bertajuk "Darah Tinggi," Dr. Wan Zulhaikal berkongsi ilmu tentang menguruskan tekanan darah tinggi dan kepentingan menjaga kesihatan buah pinggang.
Sesi kedua diketuai oleh Dr. Mohd Fyzal Bahrudin, Pakar Perubatan dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah. Dalam syarahannya bertajuk "Kencing Manis," Dr. Mohd Fyzal membincangkan diabetes dan memberikan maklumat berguna kepada peserta dalam menguruskan keadaan ini untuk mengekalkan kesihatan mereka.
Dr. Maz Amirah, pakar Perubatan Dalaman Akut dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, menjadi penceramah dalam sesi ketiga mengenai topik "Penyakit Jantung dan Angin Ahmar (Strok)." Para peserta mendengar ceramah yang memberikan pandangan tentang penyakit jantung dan pencegahan strok, serta tindakan yang perlu diambil dalam kecemasan.
Sesi terakhir telah disampaikan oleh Dr. Noraida Omar, Pakar Diet untuk warga emas dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah, yang menyampaikan syarahan bertajuk "Pemakanan Sihat untuk earga emas." Peserta mendapat maklumat penting tentang kepentingan diet seimbang dan strategi pemakanan yang sesuai untuk mengekalkan kesihatan mereka di hari tua.
Selain ceramah, program ini turut menyediakan sesi konsultasi kesihatan yang dibimbing oleh pakar dari Hospital Sultan Abdul Aziz Shah. Peserta berpeluang untuk berunding terus dengan pakar dan mendapatkan nasihat dan cadangan kesihatan diri.
Program Kesihatan Warga Emas Aktif Siri 2: Empat Serangkai yang diadakan berjaya memberikan manfaat yang besar kepada para peserta. Program seumpama ini diharap dapat terus diadakan bagi membantu warga emas menjaga kesihatan dan meningkatkan kualiti hidup.
Tarikh Input: 22/06/2023 |
Kemaskini: 22/06/2023 | aimerul
PERKONGSIAN MEDIA