“Kesihatan Saya, Hak Saya” | CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
» ARTICLE » “Kesihatan Saya, Hak Saya”

“Kesihatan Saya, Hak Saya”

Hari Kesihatan Sedunia disambut pada 7 April setiap tahun. Tema peringkat kebangsaan yang diangkat bagi tahun 2024 ialah “Kesihatan Saya, Hak Saya” sejajar dengan tema oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

 

Kesihatan adalah hak asasi setiap individu dimana setiap orang mempunyai hak untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan yang berkualiti, terbaik, mudah diakses pada bila-bila masa dan di mana jua ia diperlukan tanpa dibebani dengan isu kewangan mengikut prinsip Liputan Kesihatan Sejagat atau Universal Health Coverage (UHC). Prinsip Liputan Kesihatan Sejagat ini menjanjikan perlindungan kewangan dan akses kepada perkhidmatan kesihatan asasi yang boleh mengelakkan terjadinya kemiskinan dikalangan masyarakat, menggalakkan kesejahteraan keluarga dan masyarakat serta melindungi dari krisis kesihatan awam.

 

Untuk hidup sihat, setiap individu memerlukan perkhidmatan kesihatan dan sumber yang secukupnya. Masa depan yang lebih cerah dan sihat, sama ada untuk kita atau generasi seterusnya, adalah hak bersama.

 

Pelaksanaan agenda pembaharuan yang terkandung Kertas Putih Kesihatan menjadi kian sukar akibat pemulihan ekonomi pascapandemik, usaha untuk meningkatkan penjagaan kesihatan sejagat dan kesaksamaan kesihatan mampu sekiranya hak kesihatan dinobatkan sebagai teras agenda. Hak kesihatan merangkumi empat unsur penting yang saling berkait iaitu ketersediaan, kebolehcapaian, penerimaan dan mutu. 

 

Menurut Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, Malaysia sudah mencapai kemajuan yang ketara dalam penawaran penjagaan kesihatan secara sejagat berdasarkan keempat-empat unsur ini, masih banyak yang perlu diikhtiarkan untuk membolehkan rakyat menikmatinya secara saksama. 

"Di samping itu, Malaysia sudah mengagihkan peruntukan dalam bidang teleperubatan dan klinik kesihatan bergerak untuk menyampaikan khidmat kepada penduduk yang sukar mendapat perkhidmatan seperti di kawasan terpencil.

"Usaha seperti ini berjaya meningkatkan capaian dan mutu penjagaan kesihatan untuk masyarakat pedalaman dan merapatkan jurang perbezaan antara kawasan bandar dan luar bandar," katanya.

 

Malaysia telah melaksanakan program pendidikan kesihatan yang menyeluruh untuk memupuk amalan penjagaan kesihatan berlandaskan pencegahan, serta meningkatkan kesedaran tentang kepentingan mendapat rawatan perubatan awal. Oleh itu, setiap individu perlu memperkayakan dengan ilmu dan kemahiran untuk menguruskan kesihatan diri secara proaktif, agar dapat menangani kesenjangan kesihatan sedia ada, serta turut membina generasi akan datang yang lebih sihat.

 

Semoga sambutan ini dapat meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan penjagaan kesihatan dan kesejahteraan individu, masyarakat dan negara.



Disediakan oleh: Puan Shafikah binti Rahim (Pegawai Jururawat)

Sumber:

https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2024/04/1232583/hak-kesihatan-rakyat-perlu-dimartabatkan-secara-bersama-dr-dzulkefly

https://mecare.my/hari-kesihatan-sedunia/

https://www.moh.gov.bn/Final perutusan YB Menteri Kesihatan

https://twitter.com/KKMPutrajaya/status/1776793166345392314

Date of Input: 30/04/2024 | Updated: 30/04/2024 | aimerul

MEDIA SHARING

CLINICAL AND CANCER RESOURCE EDUCATION UNIT (CCARE)
Universiti Putra Malaysia
43400 UPM Serdang
Selangor Darul Ehsan
03-9769 9754
-
SXFRWAs~